Followers

Saturday, February 8, 2014

Tentang Cik Azue, Kerja Tangan dan Suatu masa dahulu

Teks: KUAZUE MOHD

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Hari ini cik azue nak bercerita sedikit tentang latar belakang cik azue untuk tatapan para pembaca dan pengikut setia blog ini dari tahun 2009 lagi. Bukan apa, selain memenuhi salah satu daripada tuntutan tugasan kelas, ada baiknya juga rakan-rakan mengetahui lebih lanjut serba sedikit tentang tuan empunya diri yang bergelar KUAZUE ini. Dan untuk tambahan, entri ini juga akan menyentuh sedikit sebanyak tentang kecintaan cik azue pada kraft seni jahitan dan sulaman ini.

Dilahirkan pada tanggal 17 September 1976, bersamaan 27 Ramadhan 1396 (tahun hijriah mungkin sedikit berbeza, namun 27 Ramadhan itu adalah tepat berdasarkan cerita emak dan ibu-ibu saudara, juga bersumberkan bilangan jumlah puasa yang emak kena qadha' kan. Terima kasih emak!).
Mengikut penceritaan yang disampaikan oleh emak dan ibu-ibu saudara, cik azue dilahirkan seusai azan subuh, diwaktu hujan ribut yang disertai guruh dan petir sabung menyabung. Tika dan waktu itu, emak dan ibu saudara sedang memukul telur untuk membuat bahulu bagi sambutan hari raya yang akan menjelma. Dan mengikut perkiraan kalendar masyarakat cina pula, tahun 1976 merupakan tahun naga emas yang memberi maksud yang hanya mereka mengetahuinya.

Cik azue merupakan anak ke 7 daripada 10 orang adik beradik kepada pasangan ayahanda Yang Mulia Almarhum Tengku Mohamad bin Tengku Othman dan bonda Puan Zaleha binti Harun.
Anak ke 7 ini, iaitu cik azue dinamakan sebagai Tengku Azuriyah binti Tengku Mohamad yang lebih mesra dikenali sebagai Azuriyah Mohamad atau KUAZUE atau lebih mesra cik azue.

Pendidikan awal hanyalah 'Home-Schooling' sehinggalah berusia 6 tahun. Selepas itu, bersekolah rendah dari darjah 1 hingga 6 di SK Jalan Baharu, Batu 6, Jalan Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.
Pendidikan menengah rendah pula di SM Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak. Dengan keputusan SRP 8A, cik azue meyambung pendidikan menengah tinggi di SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak. Pendidikan tertinggi pula adalah Ijazah Teknologi Industri; pengkhususan Teknologi Kayu, Kertas dan Penglitup dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.

Pada usia 22 tahun, cik azue telah bergelar seorang jurutera pemprosesan kilang. Selepas mendapat tawaran dari sebuah kilang elektronik, cik azue bergelar pula seorang jurutera kawalan mutu. Dan disinilah bermulanya karier cik azue sebagai seorang jurutera kawalan mutu.
Pada tanggal 05/02/2014 yang lalu, cik azue telah menghantar notis perletakan jawatan kepada pengurus syarikat tempat bekerja sekarang.

Bercerita tentang kehidupan pula, cik azue merupakan isteri kepada En. Ruslan bin Harun, seorang pereka bentuk grafik di sebuah syarikat swasta, serta dikurniakan dengan dua orang anak lelaki bernama Megat Muhammad Hazim bin Ruslan (9 tahun) dan Megat Muhammad Haziq bin Ruslan (7 tahun). Alhamdulillah, kedua-dua anak ini bersekolah di SK Tun Teja Rawang, Selangor dan SRA Ibnu Khaldun, Rawang, Selangor.

Berkaitan dengan kerja tangan pula, ilmu dan bakat ini diwarisi secara tidak sedar dari almarhum bonda. Diwaktu kecil, cik azue selalu berteleku di tepi meja jahit beliau, melihat dan menunggu sehinggalah emak selesai menjahit. Tidak kira apa pun yang emak jahit, cik azue akan selalu tunggu dan lihat sehingga selesai. Jika kebetulan hari itu emak jahit pakaian atau pun beg atau pun apa sahaja untuk anak-anaknya, maka kami sebagai anak akan terus pakai dan bawa pusing keliling kampung dengan bangganya. Dari situ kami semua menjadi model bagi hasil kerja tangan emak. Bermula dari itulah emak mendapat tempahan dan wang sampingan bagi menampung perbelanjaan kami semua.

Suatu hari emak jatuh sakit dan tidak dapat lagi berkarya. Emak mempunyai koleksi buku-buku kraft dan hasil-hasil kraft, dan tiada seorang pun di antara anak-anak nya yang berminat dimata emak untuk meyambung kecintaan beliau pada seni kraft itu. Sehinggalah suatu malam, cik azue terdengar emak bercakap sendirian tentang perasaan nya pada seni kraft dan anak-anaknya. Dari situ cik azue paksa diri pada mulanya mempelajari semua yang beliau minati. Alhamdulillah, sebenarnya minat itu sudah diwarisi, cuma cik azue tidak sedar atas kesibukan belajar dan bekerja sebagai seorang jurutera. Cuma selepas ayah dijemput pulang Ilahi, cik azue lebih fokus dengan minat emak kerana memaksa diri mengganti ayah yang selalu ada buat emak dan senantiasa menyokong usaha emak. Bagi melupakan kedukaan emak atas pemergiaan ayah, cik azue pun memulakan projek selimut tampal cantum bersama emak. Cuma hayat emak tidak panjang, dan projek itu menjadi wasiat untuk cik azue sudahkan. Untuk makluman, cik azue baru sahaja memulakan kembali projek selimut yang terbengkalai ini kerana baru sekarang cik azue ada kekuatan untuk berdiri sendiri dan menyudahkan segalanya.

Bantal-bantal hiasan itu pula kalau dulu, emak yang selalu jahitkan untuk kami adik beradik. Sekarang, cik azue jahit semula untuk anda demi sebuah kerinduan sebenarnya. Rindu saat-saat gembira bila mendapat bantal-bantal yang dihajati. Oleh sebab itu, biarlah cik azue yang menjahit dan menzahirkan untuk para pelanggan, sekurang-kurangnya cik azue dapat melepaskan kerinduan dan terubat rindu bila yang dihajati dapat cik azue tunaikan.
Percayalah, setiap yang cik azue jahit atau sulam, ianya datang dengan penuh perasaan kerinduaan dan kasih sayang.

Nampaknya, entri hari ini sudah menjadi panjang. Lain masa cik azue menulis lagi untuk tatapan anda semua. Semoga perkongsian ini dapat mendekatkan perhubungan di alam maya ini.
Terima kasih kerana selalu menyokong cik azue dan hasil kerja tangan cik azue.


Wasalam

Cik azue dan keluarga (raya puasa 2013)




********************************************************************


Nak tengok lebih banyak hasil kerja tangan cik azue, jom lawati cik azue di sini; https://www.facebook.com/KrafTanganKuazue

10 comments:

babYpose said...

Assalamualaikum cik azue, semoga berjaya, dan redha permergian ibubapa Al-fatihah, lama tak buka FB, bila senang share di blog juga ok. Salam kenal :)

Kuazue Mohamad said...

babYpose: alhamdulillah... mereka pegi dah lama.. ayah on year2006, while mum on year 2010, redha... tetapi kekadang tu..perit bila terkenang sesuatu..

dan salam kenal juga.. dah follow blog anda juga.. teruskan menulis ttg komunikasi dgn anak tu... boleh cik azue belajar sama

anys said...

alhamdulillah. tahniah cik azue. pengenalan diri yang sangat menarik. Tulisan yang lahir dari hati :)

anys said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Cik Rose said...

Assalamualaikum kak.. dapat tahu serba sedikit tentang diri akak..

Kuazue Mohamad said...

ros_reeza: waalaikummussalam. entri ditulis untuk saling bertaaruf sesama kita..
:)

Nik said...

salam.dpt tahu kisah akak.bestnyer ramai adik beradik :)

MumMe said...

wah,nampaknya kak cikazue senior mumme di usm...mumme batch thn 2000...school matematik...salam kenal. akak...sedih jg baca entri ni,kak...

nurbijen said...

Bila baca entry ni, rasa lebih kenal dgn cik Azue.... betul la orang kata, tak kenal maka tak cinta :)

Unknown said...

Alhamdulillah...salam perkenalan, best bc dan knl dgn rakan abdr... smoga diberi tunjuk ajar dan bantu membantu.