Followers

Showing posts with label Selimut Maktok. Show all posts
Showing posts with label Selimut Maktok. Show all posts

Friday, March 8, 2019

Cervival Spondylosis dan Cervical Radiculopathy

Entri: # 233
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Koleksi Peribadi

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Rejab, 01 1440H
Salam Kasih Sayang buat semua.

Hari ini cik azue sambung lagi menulis. Hari Rabu, 6 March yang lalu, cik azue kembali ke klinik Orthopedic Hospital Selayang.

Temujanji pada jam 2pm, jadi, cik azue terpaksa menggunakan perkhidmatan dari 'Grab Car' untuk pergi ke klinik pakar Hospital Selayang. 

Bagus pemandu ini. Bersih keretanya dan rupanya, beliau tinggal tak jauh pun dari taman perumahan yang cik azue duduk selama ini. Harga tambang pula sebanyak RM16.00 (harga bergantung jarak destinasi dan waktu tempahan).

Hihihi, sejak tidak boleh lagi memandu mahupun menunggang sendiri ini, cik azue terpaksa belajar menggunakan perkhidmatan grab dan teksi. Kalau dulu, jarang sekali menggunakan teksi, sekarang ini, boleh dikatakan setiap minggu kadang itu terpaksa menggunakan teksi atau grab untuk pergi atau balik dari hospital.

Sambung cerita  jumpa doktor pula.

Sebenarnya, kalau ikutkan jadual asal, sepatutnya cik azue kena jumpa doktor pakar tulang 'spine' pada bulan Julai nanti. Tapi dek kerana minggu lepas cik azue ada temujanji dengan Fisio tangan, (boleh rujuk sini) juru pulih di bilik tersebut minta cik azue tukar temujanji dan jumpa doktor pakar 'spine' lebih awal dari jadual kerana mengikut pengalaman beliau, kes cik azue adalah agak berlainan. Jadi, itu sebablah minggu ini cik azue kena mengadap doktor pakar kembali.

Tengok ni, bulan 3 nanti ada 2 lagi temujanji di hospital selayang ini. Temujanji bahagian Fisio tangan dah dikeluarkan, yang tinggal temujanji dengan bahagian OCCT dan kembali kepada Fisio Spine.

Selesai jumpa dengan doktor, doktor maklumkan yang cik azue sekarang ni mengalami 'Cervical Spondylosis' dan juga 'Cervical radiculopathy'.

Nanti bulan april nanti, di bahagian fisio spine, mereka akan cuba buat 'neck traction' iaitu teknik menarik tulang leher - katanya. Macam mana? Wallahu'alam, nanti dah rasa baru cik azue boleh cerita.

Ini pula ubat-ubat yang dibekalkan.
Eperisone itu adalah ubat untuk merehatkan otot. Mecobalamin tu pula adalah sejenis vitamin B untuk saraf.

Lagi satu yang atas sekali adalah krim untuk sapu pada kawasan yang sakit. Yang tiada dalam gambar, pil penahan sakit - celebrax, makan bila rasa nak makan je (sakit melampau je baru ambil gitu.)

Hurm.. itu lah dia kisah cik azue minggu ini.

Apa pun, tulang itu dah menjadi tua sejak akhir-akhir ini. Kita cuba sesuaikan dengan keadaan sekarang sahaja lah apa pun pekerjaan nya.

Yang nak tahu lebih lanjut tentang cervical spondylosis dan cervical radiculopathy tu, boleh google lah na..cik azue tak boleh nak menaip banyak nak cerita.

Berbalik kepada kehidupan kraf cik azue, selain daripada cik azue menyulam, cik azue perlahan-lahan, sambung menjahit selimut tampal cantum ini. 

Alhamdulillah, dah siap sepenuhnya untuk muka depan selimut ini. Saiz muka hadapan selimut ini adalah 90 inci X 105 inci.

gambar bentang nanti lah na.. sekarang ni tak larat bahu nak buka dan tebar kain ni. 

Oklah, sampai sini dulu ya untuk kali ini.
Hingga bertemu lagi,


Wasalam

Tuesday, May 8, 2018

Tutorial Blok Tampal Cantum - 'Blok Ikut Suka'

Entri: # 229
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam kasih sayang.

Wah kemain tajuk blok tampal cantum cik azue kali ini kan. 
Kenapa begitu? 
Ini kerana kita main jahit sajalah petak-petak kain yang ada sehingga mendapat saiz yang kita mahu.


Lihat gambar di atas. Sila ikut turutan nombor tertera pada gambar di atas, ya.

Sediaan:
Kain pilihan dipotong selebar saiz 5.5 inci mengikut panjang meter kain.
(Contoh: 1meter kain pilihan dengan kelebaran bidang kain sebanyak 45 inci, apabila dipotong secara memanjang, akan menghasilkan 8 helaian memanjang kain bersaiz kelebaran 5.5 inci.)

No.1 (pada gambar)
Saiz blok pertama adalah bersaiz 5.5 inci X 5.5 inci.

No.2 (pada gambar)
Saiz blok kedua juga adalah bersaiz 5.5 inci X 5.5 inci. 
Jumlah blok diperlukan adalah sebanyak 2 keping.
Setiap satu blok ini dijahitkan di kiri dan di kanan blok berlabel no 1 dalam gambar.

No.3 (pada gambar)
Kemudian, ambil satu lembaran kain dan dijahit merentasi petak-petak bernombor 1 dan 2 pada sisi atas dan bawah blok. Potong lebihan kain sama panjang dengan blok tersedia.

No.4 (pada gambar)
Lembaran kain yang berikut pula kemudiannya dijahit pula pada sisi tepi kiri dan kanan blok tersedia. Selepas dijahit, potong lebihan kain sama selari dengan saiz blok tersedia.

No.5 (pada gambar)
Ulang menambah saiz blok tersedia dengan menjahit seperti item no 3.

Cara-cara jahitan blok ini:

1) Jahit setapak (1/4 inci) untuk basi jahitan

1a) Sambung kain jika tidak cukup panjang.

2) Kain selepas dijahit, terdapat lebihan kain di situ

3) Potong kain sama panjang dengan blok asal

4) Selepas dipotong selari dengan blok asal.


Langkah pada no 3 dan no 4 (pada gambar pertama) akan terus diulang-ulang sehingga mencapai saiz akhir produk.

Saiz akhir selimut ini


Senang tak tutorial kali ini cik puan Wasima Omar


Maaf ya puan, baru sekarang cik azue ada masa menulis, sedangkan dah lama siap dah selimut tampal cantum ini. 
Sudah sampai ke tangan tuan dia kira-kira setahun nan lalu. 
Dan diharapkan tutorial ini dapat membantu cik puan hendaknya.

Oh ya, ini muka belakang selimut tampal cantum no 2 yang cik azue buat. Nak tengok selimut pertama, sila ke pautan ini; SELIMUT MAK TOK NO 1

Nak ke tutorial blok pertama, sila ikut pautan; Blok Tampal Cantum - 'The Flock'.

Oh ya, Tutorial asal blok ini ada di 'page' Selimut Mak Tok. Kalian boleh ke pautan asal dengan menekan pautan; 'Blok Ikut Suka' ini.

Sampai sini dulu lah ya untuk kali ini.

Nanti cik azue sambung lagi.


Wasalam.









Saturday, September 20, 2014

Entri # 82: "Selimut Mak Tok" @ Selimut Tampal Cantum

Teks: KUAZUE MOHD
Foto: Koleksi Peribadi
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Salam Kasih Sayang. Entri tengah hari rembang, kata orang tua-tua masa cik azue kecik-kecik dahulu.
Hari ini cuaca nampak tidak begitu bagus. Entahkan hujan, entahkan tidak. Kain basuhan, baru sahaja mesin berhenti basuhnya. Masih belum cik azue sidai ke ampaian. Tunggu sekejap lagilah, biar mentari tengahari bersinar galak dulu ya (oh, daku malas betul nak sidai jemuran sebenarnya).

Hari-hari mendung tak bererti hujan ni, mari jamu mata dengan selimut tampal cantum ni. Dah lama siap pun, baru ni sihat nak wat entrinya.
Sebelum terlupa, ini adalah kesinambungan dari entri yang  INI dan yang INI

 Tada!
Muka depan
Keseluruhan muka depan (macam yang mak suruh buat tu) segala tampal cantum itu dibuat dengan perca langsir. Aduhai, kalau nak tahu, sangat terbeban menjahit perca yang tak sama jenis kainnya. Satu kejung, satu senang memeri, tak tarik pun boleh memanjang, pulak tu dah namanya percakan, bukan boleh pilih nak potong ikut ira kain atau tidak, belasah aja ikut semaksima kain yang boleh. Alhamdulillah, siap juga. 
Masa cik azue 'basting' (jelujur) kain atas dan bawah ni, masa ni bulan puasa, tetiba terperasan macam mak duk atas sofa sedang pandang cik azue buat. Mula-mula cik azue buat tak tahu je, tapi bila macam tiap kali tunduk jahit, di ekor mata daku ternampak-nampak beliau, daku katup semua, ambil wuduk dan baca Al-Quran  terus dan sedekahkan buat mak. Oh sungguh satu perasaan yang tidak boleh kugambarkan tika dan waktu itu. Moga-moga itu hanyalah mainan emosi cik azue sahaja. Sudahlah daku seorang-seorang dirumah waktu itu (anak-anak sekolah dan chenta hati kerjakan, hari bekerja), sudahnya, dua hari selepas itu baru daku menyambung semula tugas yang terhenti. dan 'border' biru muda itu guna kain tetron jer dari nagoya. 

Muka belakang
Yang belakang pula, mak kata, tak kisah, kalau depan guna kain licin, belakang guna kain cotton atau kain panas. Disebabkan dirumah cik azue ada bergulung-gulung kain flannel @ kain panas ni, maka, cik azue pun guna kain ini sahajalah buat muka belakangnya. Sedap juga kalau kena ke kulitkan.

Sedang dijahit tindih
 Ini time jahit tindih depan dan belakang. Cik azue guna 2 lapis kain sahaja (kain muka depan dan muka belakang). Ini pun dah berat. Sakit bahu jugalah nak sudahkan jahitan tu. Alhamdulillah dengan pertolongan cik JACK, cepatlah juga berbanding kalau guna cik SINGER tu, mahu meraung dia jahit selimut ni.

Sedang dijahit "binding"
 Yang ni pula masa jahit bindingnya. Lupa lah nak ambil gambar penjurunya. Maaf ya. Moga-moga cik azue tidak lupa untuk projek akan datang. Dalam gambar ni boleh nampak la cik azue jahit lurus sahaja untuk lekatkan kain atas dan bawah tu. Oh kalau ada otai-otai patchwork yang baca, selain jahit lurus, jika guna mesin industri, ada paten apa lagi boleh kita jahit untuk lekatkan kain atas dan bawah ini ya? Terima kasih ya, jika sudi kongsi maklumat.

sudah dipek
Ini dah siap. Selimut ini dah dibasuh tapi malas digosok. Hahaha! Bertuah punya adik kan. Maaf lah abang chu ya. Ini anda yang punya. Minta mem anda gosok jika benci akan kedutan seribu yang ado yer.

Kata mak, "hang nanti tolong mak jahit untuk depa yang dah kawin, selimut tu muat untuk kelamin la, sat lagi depa bergaduh tak muat sat gi. Hat adik tak pa la, tapi buat juga lah kelamin, mana nak tau, sementara nak jahit, kawin pi dia pun.."

Tidak boleh lupa! tidak boleh lupa! kalau lah mak boleh baca, ADIK dah kawin pun mak, selimut dia belum lagi di potong pun perca-perca ikut paten yang mak suruh buat, huhuhu.

Jadi, selimut terhasil di atas bersaiz 66 inci X 80 inci. Moga-moga muat lah kut ya.

Sampai sini dululah ya entri tengahari ni. Nanti cik azue cuba buat totorial untuk macam mana cik azue jahit paten tampal cantum ini.

Berikut detail untuk selimut tampal cantum ini sebagai kesimpulan nya.

Selimut Mak Tok #:1 (Paten used: "The FLOCK")

Saiz: 66 inci x 80 inci 

Kain Top: Perca Langsir + Tetron

Kain Bottom: Kain Flannel 

Status: Sudah Berpunya




Sekian, wasalam


*ppsssttt.... senarai penempah untuk selimut tampal cantum juga sudah mula panjang. Sesiapa berminat, boleh masuk dalam status KIV ya. Nanti lepas selesai projek unfullfill wishes ini, cik azue hubungi anda semula. Harga bergantung saiz, paten, material tau. Harga bermula RM100 dan ke atas ya.