Followers

Showing posts with label Salam Pengenalan. Show all posts
Showing posts with label Salam Pengenalan. Show all posts

Wednesday, February 12, 2014

Pilihanku: Kraf Seni Jahitan & Sulaman serta Ulasan Kelas BLOG PENULISAN

Teks: KUAZUE MOHD
Foto: Koleksi Peribadi 


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI…. 


Sebagaimana para pembaca sedia maklum, dahulu, blog cik azue ini bertajuk; "Ini Cerita Kami" . Dan latar belakang blog itu ada komputer riba, nota bergantungan serta buih-buih warna warni memenuhi ruang. Itu adalah gambaran pekerjaan dan kehidupan cik azue diketika itu. Untuk tambahan makluman, blog seperti dibawah adalah blog terakhir yang cik azue kemaskini susunaturnya dari tahun 2011 kalau tidak silap.

Tapi kenapa ya cik azue memberi nama blog itu dengan nama "Ini Cerita Kami" ya? Ya, kalau anda ingin tahu, pada asalnya cik azue menulis blog ini pada tahun 2009 dengan nama blog pada ketika itu adalah "The little craft cotage". Tujuan asal adalah kerana hendak pamerkan hasil kerja tangan setelah menduduki kelas atas talian bagi pelajaran Seni Sulaman Reben kelolaan Puan Suzana.

Cuma setelah cuba beberapa kali, jari jemari cik azue tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna, berikutan kemalangan yang dialami pada tahun 2008. Sayang tetapi tidak mengapa, segala ilmu akan diguna pakai semula suatu hari nanti. Oh ya, Cik azue belajar untuk mak sebenarnya. Mak teringin nak menyulam guna reben, tapi mak tak boleh lagi menjahit sulam tangan kerana selepas melahirkan adik yang terakhir, mak mengalami kebas-kebas jari, dimana mak tidak dapat merasa benda-benda halus seperti jarum jahit itu. Dan kerana sering mendengar mak bercerita tentang ketaksuban mak melihat orang-orang yang pandai dengan seni sulaman reben itu, makanya cik azue mengambil peluang memuaskan hati mak. Dan memang mak sangat gembira bila cik azue dan adik bongsu tunjukkan hasil yang telah dipelajari dan itulah yang membuatkan mak tersenyum bahagia.


Selepas itu, cik azue menukar kembali nama blog menjadi seperti gambar diatas. "Ini Cerita Kami" adalah sebenarnya cerita yang cik azue dan keluarga di sini alami untuk tatapan mak di kampung. Mak akan lihat blog ini bila mana adik bongsu buka blog ini dan biarkan mak lihat dan baca sendiri. Semuanya adalah untuk  tatapan mak.

Selepas cik azue berfikir untuk berubah haluan, banyak yang cik azue buat demi untuk berubah kerana ingin mengubah. Nanti kita kongsi bersama ya di entri akan datang, In shaa Allah.
Bertemu dengan blog Puan Masayu membawa cik azue mengenali GURU ONLINE ini. Setelah beberapa bulan mengkaji, cik azue mengambil keputusan untuk melabur bagi mencari sedikit ilmu dan selebihnya berhajat agar kumpulan sokongan ini dapat memberikan sokongan pada cik azue disaat-saat keperluaan emosi agak menjunam setelah bergelar WAHM. Siapa tahu akan ujian yang bakal kita hadapikan. Sekurang-kurangnya, kumpulan ini ada untuk saling sokong menyokong antara satu sama lain.

Baik, kenapa blog ini ditukar nama seperti hari ini. Ya, pada mulanya cik azue mahu kekalkan sahaj nama asal blog ini kerana mengenangkan memori bersama mak. Tetapi setelah berfikir secara rasional, cik azue tidak boleh selamanya hidup dalam kenangan itu. Ya, cik azue kena keluar demi kenangan itu. Dan atas kenangan itu, cik azue memilih nama blog ini seperti ini supaya cik azue lebih fokus dengan suatu benda yang asalnya kenangan yang mungkin boleh memberi dan menjana kewangan pada cik azue dan keluarga dikemudian hari. Dan semoga dengan lebih fokus cik azue lebih produktif dan punya hala tuju yang lebih menjaminkan.

Bercerita tentang Kelas Blog Penulisan, disini, cik azue diajar menjadi lebih fokus untuk menulis berdasarkan nama blog yang dipilih. Untuk cik azue, ianya nanti akan lebih menjurus kepada kecenderungan cik azue dengan kraft seni jahitan dan sulaman ini. 

Hasil Seni Sulaman Benang tahun 1990/1991 (projek SRT- SRP)

Projek yang sama tapi bunga nya dilukis almarhum BONDA dan disulam benang atas tunjuk ajar beliau

In shaa Allah, selepas bergelah WAHM, dapatlah kiranya cik azue membuat beberapa tutorial berkaitan sebagai perkongsian kita bersama. 

Totorial sulaman seni tampal cantum ATAU

Tutorial sulaman mesin, sulaman applique.

Apa lagi yang diperolehi dari kelas ini adalah disiplin untuk selalu menulis berdasarkan format blog yang kita pilih sendiri. Selain berpeluang belajar bagaimana menghasilkan sesuatu blog yang in shaa Allah memberi manfaat buat ramai orang dan juga tentang bagaimana menarik lebih ramai pelawat ke blog kita. Dengan perkongsiaan capaian blog rakan-rakan sealiran, cik azue juga selain mendapat informasi, boleh juga menjadi salah satu sumber untuk menarik traffik ke blog rakan-rakan yang lain.

Secara ringkasan, Kelas Blog Penulisan kelolaan guru online yang di asaskan oleh Puan Masayu ini telah membantu cik azue menjadi seorang yang lebih fokus, in shaa Allah serta sebenarnya lebih banyak kita belajar, lebih banyak juga yang kita tidak tahu.

Semoga Akademi ini dapat membantu lebih rami suri diluar sana.

Akhir Kalam, tidak salah belajar sesuatu yang kita sedia tahu keran lain guru, lain pula pengalamannya. Lain pengalaman, lain pula ilmunya. Semakin ramai guru, semakin banyak ilmunya, cuma tapis-tapiskan setiap satu ilmu yang diperolehi. Pilih yang betul-betul dapat memberikan manfaat ya.


Hingga itu,

Wasalam


**********************************************************************
 Nak tengok lebih banyak hasil kerja tangan cik azue, jom lawati cik azue di sini; https://www.facebook.com/KrafTanganKuazue

Saturday, February 8, 2014

Tentang Cik Azue, Kerja Tangan dan Suatu masa dahulu

Teks: KUAZUE MOHD

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Hari ini cik azue nak bercerita sedikit tentang latar belakang cik azue untuk tatapan para pembaca dan pengikut setia blog ini dari tahun 2009 lagi. Bukan apa, selain memenuhi salah satu daripada tuntutan tugasan kelas, ada baiknya juga rakan-rakan mengetahui lebih lanjut serba sedikit tentang tuan empunya diri yang bergelar KUAZUE ini. Dan untuk tambahan, entri ini juga akan menyentuh sedikit sebanyak tentang kecintaan cik azue pada kraft seni jahitan dan sulaman ini.

Dilahirkan pada tanggal 17 September 1976, bersamaan 27 Ramadhan 1396 (tahun hijriah mungkin sedikit berbeza, namun 27 Ramadhan itu adalah tepat berdasarkan cerita emak dan ibu-ibu saudara, juga bersumberkan bilangan jumlah puasa yang emak kena qadha' kan. Terima kasih emak!).
Mengikut penceritaan yang disampaikan oleh emak dan ibu-ibu saudara, cik azue dilahirkan seusai azan subuh, diwaktu hujan ribut yang disertai guruh dan petir sabung menyabung. Tika dan waktu itu, emak dan ibu saudara sedang memukul telur untuk membuat bahulu bagi sambutan hari raya yang akan menjelma. Dan mengikut perkiraan kalendar masyarakat cina pula, tahun 1976 merupakan tahun naga emas yang memberi maksud yang hanya mereka mengetahuinya.

Cik azue merupakan anak ke 7 daripada 10 orang adik beradik kepada pasangan ayahanda Yang Mulia Almarhum Tengku Mohamad bin Tengku Othman dan bonda Puan Zaleha binti Harun.
Anak ke 7 ini, iaitu cik azue dinamakan sebagai Tengku Azuriyah binti Tengku Mohamad yang lebih mesra dikenali sebagai Azuriyah Mohamad atau KUAZUE atau lebih mesra cik azue.

Pendidikan awal hanyalah 'Home-Schooling' sehinggalah berusia 6 tahun. Selepas itu, bersekolah rendah dari darjah 1 hingga 6 di SK Jalan Baharu, Batu 6, Jalan Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak.
Pendidikan menengah rendah pula di SM Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak. Dengan keputusan SRP 8A, cik azue meyambung pendidikan menengah tinggi di SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping, Perak. Pendidikan tertinggi pula adalah Ijazah Teknologi Industri; pengkhususan Teknologi Kayu, Kertas dan Penglitup dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.

Pada usia 22 tahun, cik azue telah bergelar seorang jurutera pemprosesan kilang. Selepas mendapat tawaran dari sebuah kilang elektronik, cik azue bergelar pula seorang jurutera kawalan mutu. Dan disinilah bermulanya karier cik azue sebagai seorang jurutera kawalan mutu.
Pada tanggal 05/02/2014 yang lalu, cik azue telah menghantar notis perletakan jawatan kepada pengurus syarikat tempat bekerja sekarang.

Bercerita tentang kehidupan pula, cik azue merupakan isteri kepada En. Ruslan bin Harun, seorang pereka bentuk grafik di sebuah syarikat swasta, serta dikurniakan dengan dua orang anak lelaki bernama Megat Muhammad Hazim bin Ruslan (9 tahun) dan Megat Muhammad Haziq bin Ruslan (7 tahun). Alhamdulillah, kedua-dua anak ini bersekolah di SK Tun Teja Rawang, Selangor dan SRA Ibnu Khaldun, Rawang, Selangor.

Berkaitan dengan kerja tangan pula, ilmu dan bakat ini diwarisi secara tidak sedar dari almarhum bonda. Diwaktu kecil, cik azue selalu berteleku di tepi meja jahit beliau, melihat dan menunggu sehinggalah emak selesai menjahit. Tidak kira apa pun yang emak jahit, cik azue akan selalu tunggu dan lihat sehingga selesai. Jika kebetulan hari itu emak jahit pakaian atau pun beg atau pun apa sahaja untuk anak-anaknya, maka kami sebagai anak akan terus pakai dan bawa pusing keliling kampung dengan bangganya. Dari situ kami semua menjadi model bagi hasil kerja tangan emak. Bermula dari itulah emak mendapat tempahan dan wang sampingan bagi menampung perbelanjaan kami semua.

Suatu hari emak jatuh sakit dan tidak dapat lagi berkarya. Emak mempunyai koleksi buku-buku kraft dan hasil-hasil kraft, dan tiada seorang pun di antara anak-anak nya yang berminat dimata emak untuk meyambung kecintaan beliau pada seni kraft itu. Sehinggalah suatu malam, cik azue terdengar emak bercakap sendirian tentang perasaan nya pada seni kraft dan anak-anaknya. Dari situ cik azue paksa diri pada mulanya mempelajari semua yang beliau minati. Alhamdulillah, sebenarnya minat itu sudah diwarisi, cuma cik azue tidak sedar atas kesibukan belajar dan bekerja sebagai seorang jurutera. Cuma selepas ayah dijemput pulang Ilahi, cik azue lebih fokus dengan minat emak kerana memaksa diri mengganti ayah yang selalu ada buat emak dan senantiasa menyokong usaha emak. Bagi melupakan kedukaan emak atas pemergiaan ayah, cik azue pun memulakan projek selimut tampal cantum bersama emak. Cuma hayat emak tidak panjang, dan projek itu menjadi wasiat untuk cik azue sudahkan. Untuk makluman, cik azue baru sahaja memulakan kembali projek selimut yang terbengkalai ini kerana baru sekarang cik azue ada kekuatan untuk berdiri sendiri dan menyudahkan segalanya.

Bantal-bantal hiasan itu pula kalau dulu, emak yang selalu jahitkan untuk kami adik beradik. Sekarang, cik azue jahit semula untuk anda demi sebuah kerinduan sebenarnya. Rindu saat-saat gembira bila mendapat bantal-bantal yang dihajati. Oleh sebab itu, biarlah cik azue yang menjahit dan menzahirkan untuk para pelanggan, sekurang-kurangnya cik azue dapat melepaskan kerinduan dan terubat rindu bila yang dihajati dapat cik azue tunaikan.
Percayalah, setiap yang cik azue jahit atau sulam, ianya datang dengan penuh perasaan kerinduaan dan kasih sayang.

Nampaknya, entri hari ini sudah menjadi panjang. Lain masa cik azue menulis lagi untuk tatapan anda semua. Semoga perkongsian ini dapat mendekatkan perhubungan di alam maya ini.
Terima kasih kerana selalu menyokong cik azue dan hasil kerja tangan cik azue.


Wasalam

Cik azue dan keluarga (raya puasa 2013)




********************************************************************


Nak tengok lebih banyak hasil kerja tangan cik azue, jom lawati cik azue di sini; https://www.facebook.com/KrafTanganKuazue