Followers

Sunday, March 4, 2018

Prosedur Endoskopi

Entri: # 217
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

November 10, 2017

Hari ini adalah hari pertama rujukan ke klinik bahagian 'Surgikal' di hospital Selayang setelah masalah gastrik itu macam tidak dapat diselesaikan oleh doktor di bahagian kecemasan.

Hari ini juga doktor beri temujanji kedua untuk menjalani prosedur endoskopi dek kerana ubat-ubatan gastrik yang diberi seolah tidak memberi sebarang penyelesaian buat diri.



Kalau ikut rekod, kali pertama ujian endoskopi dijalankan pada sekitar hujung tahun 2003 dengan masalah waktu itu dikenalpasti sebagai masalah refluks atau GERD.

November 21, 2017
Cik azue dikehendaki berpuasa dari jam 12 tengah malam.

Esok paginya, pergi ke unit rawatan harian Hospital Selayang untuk mendaftar. Bayaran yang dikenakan ketika ini adalah sebanyak RM23 sahaja.
(Pada tahun 2003, bayaran dibayar lebih kurang RM200 dek kerana rujukan dari klinik swasta untuk membuat prosedur endoskopi.)

Setelah itu, cik azue diarahkan untuk menunggu di ruang menunggu yang disediakan.

Berdebar-debar sungguh rasa kali ini kerana pada tahun 2003, prosedur dilakukan tanpa sedar (bius pelali) manakala kali ini akan dilakukan secara sedar.

Nama dipanggil dan diarah agar berbaring dikatil yang disediakan.
Disebalik tirai, terdengar suara perawat dan pesakit.
Si doktor bercakap minta pesakit bertahan, manakala si pesakit terdengar luahan seakan muntah.

Allah! Sungguh berdebar rasa hati.

Oh ya, pada prosedur ini, kita tak perlu salin pakaian, boleh saja pakai baju yang dipakai. Bagi yang bertudung, sila bawa tudung sepersalinan bersama ya.

Sampailah ke giliran cik azue.
Ketika doktor mahu memulakan prosedur, tiba-tiba nafas cikazue seolah tersekat, rasa sesak nafas, lalu doktor terpaksa berhenti.

Bacaan paras oksigen darah juga menjadi rendah (ya, sebelum prosedur dibuat, pesakit akan dipakaikan alat untuk mengesan paras tekanan darah dan paras oksigen di dalam badan.)

Sudahnya, disebabkan rongga tenggorok sudah disembur cecair kebas, doktor terpaksa naikkan sedikit ketinggian katil bahagian kepala supaya cik azue tidak diserang sesak nafas lagi. Alhamdulillah.

Ketika prosedur berjalan, apa yang dirasakan adalah seperti sensasi mahu muntah lalu tanpa dapat dikawal, kita pun akan memuntahkan angin tanpa henti. Air mata pun berlinang-linang juga sepanjang prosedur yang hanya mengambil masa tidak sampai pun 10 minit.

Sebaik selesai, doktor yang menjalankan prosedur memberitahu cik azue yang keadaan rongga dalaman nampak seperti ada nya keadaan yang dipanggil 'Hiatus Hernia'.

Dan keadaan ini pada pandangan mata beliau, masih lagi pada peringkat awal, namun disebabkan badan cik azue seolah-olah tidak bertindak balas dengan ubat yang dibekalkan, lalu doktor terus merujuk cik azue kepada pakar perubatan yang bertanggung jawab bagi siasatan lanjutan.

Dari sinilah cik azue dirujuk ke bahagian Surgikal di Hospital Sungai Buloh seperti mana entri sebelum ini.

Selesai semuanya, cik azue dibekalkan dengan ubatan untuk merawat keadaan yang dipanggil 'peptic ulcer disease' dan diberikan tarikh temujanji akan datang dengan doktor.




Oklah nanti cik azue sambung lagi, In shaa Allah.
posted from Bloggeroid

Saturday, March 3, 2018

Temujanji Pertama di Hospital Sungai Buloh

Entri: # 216
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Disember 15, 2017

Hari ini hari pertama berurusan di klinik pakar 'surgical' di hospital sungai buloh.



Bagaimanakah cik azue boleh sampai ke sini? Macam ini kisah dia.

13 Oktober 2017, serangan pertama sakit ulu hati tepat jam 1.30am.

Sakit ulu hati bersama rasa menyucuk di dada yang telan segala jenis ubat gastrik yang dalam simpanan (histac, mmt dan gelusil) pun tak lut.

Esoknya, rasa itu makin kuat. Cuba juga bertahan tapi sehingga membawa seminggu, rasa itu makin bertambah bersama simptom mencekik dan dicekik.

Sudahnya ubat gastrik Omeperazol pun tidak lut, lalu kami ke Klinik Kesihatan Rawang, lantas terus dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Selayang.

Pada ketika ini, bernafas pun sudah tidak selesa. Sakit dada bagai dicucuk kayu dari atas tulang bahu terus ke dada.
Manakala rasa tercekik itu makin mencekik diri. Nak baring pun dah tak boleh, umpama ada orang mencekik sahaja.

Apa nak buat, doktor di unit kecemasan terus buat saringan jantung dan paru-paru, berib ubat gastrik, dan dirujuk ke unit Surgical Hospital Selayang.


~Bersambung~
posted from Bloggeroid

Thursday, February 22, 2018

Temujanji Doktor Gynea

Entri: # 215
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


November 27, 2017

Hari ini cik azue seorang diri berjumpa doktor kerana en chenta ada temujanji dengan doktor gigi.

Macam biasa proses menunggu giliran di klinik pakar obstetrics dan gynecology pasti mengambil masa kerana menunggu doktor pakar merawat cik azue siap melawat pesakit di wad.

Tepat jam 11 pagi, nombor cik azue di panggil. Kali ini cik azue berjumpa pakar yang lain pula. Kali ini berjumpa dengan Doktor Yu.

Setelah doktor Yu meneliti rekod perubatan, doktor mencadangkan prosedur TAHBSO memandangkan kes cik azue sudah melibatkan pakar 'surgikal' dari hospital berbeza serta keadaan kesakitan yang semakin teruk.

Pada ketika ini, satu sahaja soalan yang terpacul keluar dari mulut cik azue kepada tuan doktor.

"Bolehkah saya ini menjalani prosedur ini memandangkan pakar yang sebelum ini telah menyatakan bahawa cik azue tidak layak untuk berada di dewan bedah dan boleh menyebabkan kematian dek komplikasi jika memilih untuk bedah buang seperti yang dicadangkan?"

Sungguh, dari tahun 2015, doktor pakar yang merawat (untuk makluman, kes cik azue di bawah seliaan satu nama doktor pakar dan hanya dia yang dirujuk jika doktor lain terpaksa berjumpa cik azue) tidak pernah memberi sebarang persetujuan untuk pembedahan.

Malahan dia juga mencadangkan agar cik azue berubat secara rawatan alternatif. Sejak itu, cik azue belajar untuk hidup dengan kesakitan.

Redha dengan segala ketentuan Ilahi. Berikhtiar dan layankan saja rasa sakit.

Tiba-tiba doktor Yu, bercakap sebaliknya, sungguh cik azue keliru.





Sudahnya, doktor Yu minta cik azue pergi ambil temujanji untuk prosedur ct scan dan diberi ubat hormon untuk sediaan diri pra menopause.


Ubat hormon yang diberi adalah danazol. Ini adalah ubat yang perlu di ambil ketika ini.

Balik rumah cik azue sangat keliru.
Semoga Allah memberi jawapan terbaik dalam kehidupan ini.

Sekian
posted from Bloggeroid

Tuesday, February 6, 2018

Selamat Datang Februari 2018

Entri: # 214
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto:

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Apa khabar kalian?
Diharap sihat hendaknya.

Hari ini hari ke 7 selepas prosedur TAHBSO.

Apa itu TAHBSO?
Secara ringkasnya, ianya adalah Prosedur pembedahan buang rahim, kedua-dua belah tiub fallopion dan kedua-dua belah ovari.

Kenapa cik azue kena jalani prosedur ini?
Umum tahu, cik azue ada masalah endometriosis dan adenomyosis.

Apa itu endometriosis dan apa pula adenomyosis?
Entri lain akan cik azue catatkan. Tapi kira update blog secara 'throw back' lah ya.

Jangan risau. Nanti baca tarikh tertera pada setiap entri untuk rujukan hari kejadian ya.

Oklah. Nak masuk maghrib dah ni. Nanti cik azue sambung

Sekian.
Wasalam
posted from Bloggeroid

Monday, January 22, 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Entri: # 213
Teks: KUAZUE MOHD
Foto: Carian google
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
 DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI


Tahun baru datang lagi.
Selamat datang 2018.
Yang pasti ada perkara besar akan berlaku dalam hidup seorang manusia bernama cik azue.

Kalian apa khabar?
Maaf, sejak akhir-akhir ini, cik azue semacam putus semangat untuk menulis, berkongsi rasa dengan semua.
Maaf, barangkali taraf kesihatan yang semakin menurun menyebabkan cik azue rasa ingin menyendiri buat seketika.

Biarlah 2017 berlalu pergi. Kita hadapi 2018 dengan semangat baru, in shaa Allah.

Oklah, nanti cik azue menulis lagi di lain kali, in shaa Allah.

Wasalam