Followers

Thursday, October 5, 2017

Sulam Tangan dan Kenangan itu

Entri: #212
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat kesayangan semua.

Pertamanya, cik azue nak bagi tahu, cik azue dah jumpa kembali saprah yang tak siap sulam dari entri semalam.

Pagi ini cik azue cuba menyulam kembali.
Sambil tangan menyulam, sambil otak menerawang kembali kisah zaman remaja waktu arwah bonda sedang mengajar cik azue menyulam tangan.

Haa, sapa suruh mengelamun, sudahnya jari tertusuk jarum.



Sakit!

Sakit sangat. Tapi waktu dulu, arwah bonda cukup risau bila mana cik azue luka tertusuk jarum atau terpotong jari.

Bonda akan cepat-cepat datang dan ambil jari yang luka dan dibacakan ayat-ayat Al-Quran untuk berhentikan pendarahan lalu akan ditekap dan dibalut luka tadi, sambil mulutnya mengomel berkata, "buat lagu mana tadi?!"

Oh bonda, nampak sungguh risau diwajah yang selalu mendamaikan itu. Maafkan cik azue bonda.

Oh ya, nak tahu kenapa bonda begitu kalut bila cik azue luka berdarah?
Cik azue zaman dulu ada masalah berkaitan darah. Luka macam ini boleh ambil berjam-jam tempoh masa bagi menghentikan pendarahan.

Pernah satu hari dikebun, bilah buluh terkena tepi ibu jari tangan kiri, luka itu bukanlah sangat dalam, tapi telah menyebabkan luka itu mengalami pendarahan yang sangat teruk.

Bayangkan darah masih boleh mengalir menitik-nitik dari kebun ke rumah (jarak 3, 4 kangkang kera saja) walau tempat luka itu telah ditekup dengan kain dan tangan.
Sampaikan adik lelaki cik azue yang takut darah nyaris pengsan dek melihat jaluran darah yang mengalir.
Sudahnya, cik azue demam dek badan terhidrat akibat hilang darah. Masa ini satu hari lebih rasanya baru darah betul-betul berhenti. Nyaris juga masuk hospital untuk transfusi darah. Hahaha.

Sejak peristiwa itu, bonda sangat perihatin, pantang jari atau apa sahaja luka, bonda akan cuak. Namun, sekarang ini, cik azue sudah semakin baik, tambah-tambah bila mana waktu mengandung dulu cik azue pernah terkena 'thrombocytosis' iaitu sejenis keadaan di mana patlet darah menjadi tinggi dan darah boleh membeku sesuka hati. Sejak ini, kisah pendarahan itu semakin baik. Jika terluka pun, tidak lah begitu teruk keadaannya, alhamdulillah.

Oklah, panjang sudah.
Lain kali cik azue sambung lagi. Takkan habis kisah cik azue dan bonda untuk ditulis.

'I love You, mak!'

Sekian, Wasalam

posted from Bloggeroid

Wednesday, October 4, 2017

Sulaman Tangan; Entah bila bersambung

Entri: #211
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat kesayangan semua.

Hari ini cik azue nak tulis tentang sulaman tangan.

Kebetulan Makcik Ani dari Segambut ada menalifon cik azue bertanyakan tentang sulaman tangan. Siapa pula makcik Ani ni kan?

Makcik Ani ini dapat nombor cik azue setelah membuat carian di internet. Terima kasih makcik kerana menalifon saya dan secara tidak langsung telah mengetuk saya yang telah lama berhenti menyulam tangan dek kerana masalah kebas jari jemari selepas kemalangan dan sapaan penyakit endometriosis.





Ini adalah perkara terakhir berkaitan sulaman tangan yang cik azue buat. Dan entri berkaitan gambar di atas boleh baca di 'link' berikut.
http://kuazue.blogspot.my/2012/10/kerja-orang-sakit-kepala.html?m=0

In shaa Allah, jika sihat, esok cik azue cari balik di manakah cik azue simpan khazanah ini dan cuba untuk bermula kembali.

Terima kasih ya Makcik Ani kerana kesungguhan makcik telah memberi kesan positif pada cik azue juga.

Kawan-kawan, doakan cik azue boleh pegang jarum jahit tangan semula ya.

Sekian, wasalam.
posted from Bloggeroid

Tuesday, October 3, 2017

Endometriosis dan emosi haru biru

Entri: #210
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat kesayangan semua.

Endometriosis.
Ini bukan satu alasan. Sudah lebih dua tahun cik azue cuba untuk hidup kembali normal. Bangun dan terus kuat tanpa pernah rasa seperti kawasan tengah badan seperti disiat dengan beribu pisau.

Ini penulisan bukan untuk menolak ketentuan takdir Ilahi, tetapi lebih kepada satu penulisan untuk memberi pengetahuan semata-mata.

Endometriosis ini umpama bom jangka yang tidak pernah kita tahu bila ianya akan meletus dan meletup.

Ada hari satu hari terlantar, ada hari separuh hari kuat dan ada hari macam langsung tak sakit.
Majoriti pesakit cuba bangun untuk jadi seperti sediakala, namun untuk segelintir yang diklasifikasikan sebagai kronik, tiada hari tanpa rasa sakit.

Bagi lain pesakit, kesakitan yang dirasai adakalanya sekitar hari-hari haid, iaitu pada seminggu sebelum dan selepas, atau hanya pada waktu haid.

Bagi pesakit endometriosis tanpa sebarang cyst atau fibroid, selain rasa sakit kejang perut, mereka ini juga ada yang jadi susah atau sesak nafas. Ada juga yang mengalami kejang sebelah badan serta banyak lagi gangguan.

Hal ini disebabkan, kawasan badan tersebut sedang mengalami keradangan dek kerana sel yang sepatutnya keluar sebagai darah haid telah menempel di salah tempat lalu turut berdarah juga pada waktu haid, walau tanpa aliran darah keluar dari badan.

Selain itu, penderita juga akan menderita kesakitan keradangan akibat lekatan-lekatan hasil aktiviti di atas tadi.

Apabila semua ini terjadi, penderita akan mengalami gangguan emosi. Perkara kecil pun boleh menjadi isu besar buat mereka. Ada kalanya, dek kerana banyaknya rasa sakit yang dirasai, penderita juga sering dianggap mengada-ngadakan cerita sakit.

Demi Allah yang menurunkan penyakit, jika kalian mahu rasa, kalian (bagi wanita yang pernah melahirkan) boleh bayangkan kesakitan pada fasa akhir melahirkan. Atau bagi lelaki jika mengalami sembelit kronik.

Seringan-ringan kesakitan, perasaannya umpama kena hirisan pisau di kulit secara berulang kali.

Semoga segala yang cik azue tulis memberi gambaran kesakitan endometriosis sedikit sebanyak.

Kalian yang dikategorikan sebagai 'endosister' jemput berkongsi rasa di ruangan komen juga.

Sampai sini dulu. Lain kali cik azue menulis lagi tentang kesakitan ini sebagai panduan buat semua.


Sekian.

posted from Bloggeroid

Monday, October 2, 2017

Bento, Bentuk, Bun dan Buruk

Entri: #209
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat kesayangan semua.

Kah! Kah! Kah!
Kemain tajuk entri hari ini. Maaf lah, cik azue sedikit kecewa hari ini.

Awal pagi, Megat Muhammad Haziq (sang putera kedua) siapkan sendiri bentonya. Cik azue masak dan dia hias sendiri ikut kreativiti dia. Kemudian dia pinjam telefon pintar cik azue dan ambil gambar sendiri.



Lewat tengahari, cik azue uli donut pula. Biasalah, anakanda berdua cuti sekolah agama dek peperiksaan PSRA. Pasti lapar hingga tak sempat nak kata apa jadinya.

Dalam tengah terap adunan, ada permintaan untuk buat roti sosej. Baiklah, ambil sikit doh dan kita buatkan lah.

Donut tu dapatlah kita jadikan separuh untuk sejukbeku untuk esok hari. Namun roti sosejku itu, huwaa, ya cik azue tahu, cik azue guna doh donut saja.





Hahaha, makan sajalah anakanda, esok ibu buat lagilah nampak gayanya.

Gagal untuk siap sedia roti sebagai bekalan makanan ke sekolah esok.

Sekian.

posted from Bloggeroid

Sunday, October 1, 2017

Selamat Datang October 2017

Entri: #208
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

Assalamualaikum dan salam kasih sayang buat kesayangan semua.

Hari ini sudah bertarikh 01 October 2017 bersamaan Muharram 10, 1439H.

Hari ini cik azue kurang sihat sikit. Dari malam tadi, terasa kejang perut disusuli sakit kepala yang agak kuat.
Skala kesakitan berada pada 8/10.

Inilah liku-liku hidup pesakit endometriosis. Ada hari sihat, ada hari terus langsung tidak boleh bangun.

Disebabkan cik azue mengambil ubat penahan sakit yang agak kuat, maka lepas subuh tadi, terus sambung tidur. Sedar-sedar dah berkumandang azan zuhur.

Allah hu Rabbi.
Cik azue menulis bukan meminta simpati, sekadar meluah rasa hati, serta memberi makluman buat kalian di luar sana, bahawa endometriosis ini adalah penyakit yang tidak nampak namun sangat-sangat memberi impak pada kehidupan kami.

Alhamdulillah, Allah beri seorang suami yang dapat memahami buat hari ini. Namun jauh disudut hatinya, hanya Allah hu Rabbi yang Maha Mengetahui. Semoga Allah balas dengan sebaik-baiknya balasan di dunia dan di akhirat nanti atas ehsan yang diberi oleh encik suami sepanjang cik azue menjadi isteri beliau.



Terima kasih atas ingatan yang dikirimkan ini.
In shaa Allah cik azue cuba perbaiki mana yang kurang.
In shaa Allah cik azue cuba menjadi kuat macam kakak.

Nanti cik azue sambung lagi.

Wasalam.

posted from Bloggeroid