Friday, March 24, 2017

Hasil kebun dan Asam Pedas Ayam

Entri: #193
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Jamadil Akhir 24, 1438H
(24 Mac 2017)

Salam kasih sayang.

Ini kisah beberapa hari nan lalu. Pusing ke laman tepi, lihat pokok-pokok yang ditanam encik chenta.

Alhamdulillah, nenas tiga pokok sudah mengeluarkan hasil. Benihnya ambil dari rumah MIL. Gambar? Nantilah ya.

Tengok pula kantan. Oh, kantan pun sudah mula pandai berbunga. Alhamdulillah. Satu itu dah kembang sedikit pula. Bolehlah diambil untuk dijadikan bahan masakan.

Pusing lagi, kesum atau cenohom pun dah merimbun. Petiklah habuan secekak. Boleh dah untuk buat asam pedas nampaknya, bisik hati kecil ini.

Langkah ke depan lagi, ambil pula daun limau purut. Lengkap. Dan masuk ke dapur, selongkar tengok dalam peti, apa bahan mentah sumber haiwan yang masih berbaki.



Baiklah, disebabkan haiwan yang tinggal adalah ayam, maka, cik azue kenalah masak asam pedas ayam.

Bila orang utara masak asam pedas, kau rasa?
Hahahaha, rasa asam pedas jugalah. Cuma tak tahulah boleh menyamai rasa yang dimasak oleh orang melaka dan johor atau tidak.



Gambar itu, cik azue ambil ketika api dapur baru ditutup, masih menggelegak orang kata. Ambil gambar siap-siap sebab takut lupa bila waktu hidang nanti.

Di sini cik azue tulis resepi yang cik azue buat ya untuk rujukan masa hadapan.

Mula-mula, kisar halus bawang besar, bawang merah, sedikit bawang putih bersama cili kering dan kunyit hidup.

Di dalam periuk, panaskan sedikit minyak dan tumis hingga naik bau sebatang serai, bawang merah kecil dan 2 ulas bawang putih yang dimayang halus serta setengah sudu teh halba.

Masukkan bahan kisar, tumis lagi hingga naik minyak atau garing. Bila dah garing, masukkan ayam dan gaul rata dan masak ayam hingga kecut. Tutup sekejap periuk supaya air ayam cepat keluar dan ayam empuk.

Bila ayam dah kecut, masukkan air asam dan sekeping dua asam keping. Tambah air jika perlu. Masukkan bunga kantan, daun kesum, garam dan gula secukup rasa. Renihkan seketika dan sedia dihidang.

Asam pedas ni biar pekat, baru sedap.

Oklah, sampai sini dulu.

Wasalam

posted from Bloggeroid

Thursday, March 16, 2017

Sakit Tangan dan tempahan pukal sulaman tanda nama

Entri: #192
Teks: Azuriyah Mohamad
Foto: Azuriyah Mohamad

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

Jamadil Akhir 16, 1438H
(16 Mac 2017)

Salam kasih sayang.

Lama cik azue menyepikan diri. Minta maaf banyak-banyak. Kesibukan dan kesakitan menjadikan alasan untuk berdiam diri buat seketika.

Alhamdulillah.
Kita bakal menghampiri penutup suku pertama bagi tahun 2017 (yang mana kiraan sukuan dikira setiap 3 bulan).

Cepat sungguh masa berlalukan. Sedar tak sedar, cik azue pun telah sampai masa untuk sesi terakhir bagi tempahan sulaman untuk suku ini.



Ini dua tempahan akhir dalam proses kemaskini selepas sulaman.

Alhamdulillah, Allah bantu cik azue dan tim kami untuk selesaikan amanah terakhir ini. Tinggal kerja-kerja akhir sahaja.

Sebenarnya, sejak bergelar pemderita endometriosis ini, pergerakan cik azue agak terbatas.

Macam mahu selesaikan kerja kemasan akhir ini. Tangan yang membengkak di tambah pula rasa kebas dari bahu ke hujung jari jemari di kedua-dua belah tangan. Kebas yang sakit, terutama di sebelah tangan kanan.

Kebas ini selalunya menggangu lena. Baik siang mahupun malam. Selalu perasaan bagai tangan kena pancung dirasai setiap kali tidur. Kemudian ditambah pula dengan berasa bagai ada tusukan ke dada.

Mengikut kata rakan-rakan senasib, seolah-olah simptom yang cik azue alami menunjukkan sel tersebut telah tersasar jauh ke bahagian saraf dada atau rongga torak. Entahlah.

Tunggu pihak pakar bertauliah memberi kata putus. Pertemuan seterusnya dengan doktor pakar adalah pada penghujung Mac nanti.

Alhamdulillah atas segala nikmat.

Buat para pelanggan yang budiman, terima kasih kerana sanggup menempah dan bersabar menanti tempahan siap.

Lain kali cik azue cerita lagi.

Wasalam

posted from Bloggeroid